Tuesday, November 15, 2005

Mental Jang perlu kuat

JURULATIH Negeri Sembilan, K Devan, mahu anak buahnya memberi fokus utama terhadap cabaran yang bakal dihadapi dalam Liga Super menjelang sepak mula pada 3 Disember depan.

Menurutnya, pemain seharusnya sudah dapat membuat penilaian sendiri mengenai cabaran yang bakal dihadapi kelak yang dijangka lebih hebat berbanding musim lalu apabila berada dalam kelompok Liga Perdana.

“Saya sudah mengingatkan mereka bahawa skuad Negeri Sembilan perlu memberi fokus utama terhadap cabaran yang akan kita hadapi kerana kita bakal berdepan dengan pasukan handal yang mempunyai reputasi tersendiri.

“Pemain harus memperkukuhkan kekuatan mental masing-masing sebelum aksi sulung bertemu Pahang 3 Disember ini dan saya amat mengharapkan Negeri Sembilan mencapai kemenangan,” katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di Paroi, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan menewaskan Plus, 2-0.

Devan mahu setiap pemain yang diturunkan sepanjang perlawanan nanti sentiasa mampu memberikan sumbangan berkesan kerana ia bakal memberikan imej kepada pasukan secara keseluruhannya.

Jurulatih itu yang berjaya membawa Negeri Sembilan muncul Naib Juara Liga Perdana musim lalu itu mahu skuad Hoben Jang Hoben kali ini dapat mempamerkan perwatakan tersendiri sebagai pasukan yang sudah mencapai tahap lebih baik berbanding musim lalu.

“Inilah yang sedang kita usahakan untuk memastikan semua pemain sedar tentang tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka,” katanya.

Katanya, walaupun persiapan pasukan belum mencapai 100 peratus, namun pada asasnya sudah bersedia untuk berdepan cabaran, malah beliau gembira dengan kemampuan yang ditunjukkan gandingan Mohd Nizaruddin Yusof dengan Christian Bekamenga Bekamengo di barisan depan.

“Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, kedua-dua pemain itu sudah mula menunjukkan keserasian dan persembahan membanggakan.

“Saya yakin kemantapan yang dimiliki pasukan kali ini akan memberikan hasil membanggakan sepanjang saingan Liga Super nanti,” katanya. Harian Metro