Wednesday, February 18, 2009

Tok Mat dongala suara hati penyokong togar ni...

Menguasai Tetapi Tidak Mengatasi

Dua pertemuan terakhir Liga Super berakhir tanpa kemenangan

Ungkapan itu seolah-olah sudah sinonim setiap kali Negeri Sembilan kalah atau seri dalam perlawanan Liga Super atau Piala FA sejak musim yang lalu lagi. Malah ‘penyakit’ yang sama sudah mula menyusup, Cuma diharapkan jangan sampai menjadi kudis yang lambat-launnya menjadi barah pula.

Kita memiliki barisan yang agak mantap di setiap posisi

Benteng akhir hanya melepaskan lima gol, 3 ketika kalah dengan Selangor, 1 ketika menang dengan Melaka dan 1 juga ketika kalah dengan Perlis. Semangat Ching yang sentiasa ‘remaja’ dan komitmennya yang 150% ketika mengemudi pertahanan patut dicemburui. Persembahan Aidil juga sangat bertenaga walaupun diselubungi dengan masalah peribadi. Syamsul pula tecedera dan memerlukan rehat yang panjang ketika prestasinya sedang memuncak. Affendi semakin meyakinkan dan matang, Rahman pula sangat kental dan sesekali membantu barisan tengah.

Bahagian tengah ditunjangi pemain berpengalaman seperti Syukor, Idris dan Rezal ditambah dengan kelincahan Kuna dah Shahurain yang terbukti kental dan lincah melakukan asakan. Cuma yang merisaukan, kita masih menagih ketajaman barisan serangan untuk membuat penyudah yang menghasilkan jaringan.

Zaquan, Firdaus, Ashraf, Ravi yang menjadi sandaran utama di bahagian ini kerap mencemaskan lawan setiap kali membuat percubaan. Kerap kali juga lawan menarik nafas lega apabila percubaan-percubaan itu tidak menemui sasaran akibat kegopohan, hilang punca, lemah atau mudah diselamatkan. Corak larian, kaedah Zaquan mengelecek seolah-olah sudah dapat dibaca dan dipintas pihak lawan. Zaquan sebagai penyerang utama juga harus bertindak sebagai pengumpan yang berkesan. Sayangnya Firdaus yang sudah mula menjadi ‘permata’ baru, senasib Syamsul, mengalami kecederaan tetapi tidak membimbangkan.

Zaquan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya memandangkan banyak juga pemain yang lain mempunyai peluang tetapi tidak menjaringkan. Cuma apa yg dilihat, seolah-olah terdapat masalah peribadi yang di bawa ke padang. Dalam soal ini belajarlah dari Aidil cara mengatasi, kerana dilihat dari mata kasar Aidil semakin matang dan berperanan.

Perbanyakan latihan sepakan percuma. Amat merugikan jika gol yang boleh dihasilkan melalui sepakan itu kerap dihantar ke langit. Rezal, Aidil, Syukor, Shahurain boleh melakukan itu, tetapi seolah-olah ada sindrom, sering juga mengecewakan.

Ternyata pemain bukan sahaja melawan kesebelasan musuh, tetapi juga emosi sendiri. Di sini pihak pegurusan harus bertindak segera memotivasikan pemain dari segenap sudut, kerana mereka pemain yang terbaik dan berkemampuan pergi lebih jauh.

Kepada jurulatih, pertukaran pemain yang ternyata gagal menyerlah hendaklah dilakukan seawal kelemahan dapat dikesan. Sepuluh minit terakhir belum cukup berkesan mengubah rentak permainan. Mungkin pemain tersebut bertaraf ‘bintang’ atau tulang belakang pasukan, tetapi penilaian harus juga dibuat sejauh mana sumbangannya ketika di dalam padang. Jangan takut membuat keputusan, kerana penyokong juga punya peranan.

Tahniah kepada Wan Jamak kerana berjaya mengenengahkan ramai pemain muda anak tempatan, dan tahniah yang tidak terhingga kerana memperkenalkan Kunalan di pentas Liga Malaysia.

Tetapi kita semua harus berpijak di bumi nyata, kemenangan hanya dipastikan dari lebihan jaringan daripada pihak lawan.

Tiada nilainya MENGUASAI, TETAPI TIDAK MENGATASI.

Teruskan berjuang..

SOKONGAN TEGAR, TANPA BERBELAH BAGI.!!!!!!!!!!!